Thursday, August 27, 2009

LAMBAIAN RAMADHAN

السلام عليكم.....
Ramadan..kedatangan dan kehadirannya dinantikan dengan penuh beerti buat umat islam di seantero dunia. Alhamdullillah, rasa penuh syukur ke hadrat ilahi kerana kita semua umat islam masih lagi diberi peluang untuk menikmati dan meraikan ramadhan dengan penuh rasa takzim.
Bagaikan seperti mimpi. Syaaban yang seperti baru diraikan kehadirannya semakin menutup tirai dan ramadhan pula datang dengan penuh seribu satu kenikmatan. Namun, itulah yang dinamakan takdir Allah s.w.t dan nikmatNya yang tidak ternilai harganya.
Kita sebagai umat islam, kita sebagai hambaNya yang begitu kerdil menumpang berpijak di bumi Allah haruslah bersyukur dan menggunakan peluang yang ada ini dengan menghargai nikmat Ramadhan, bulan yang penuh kemuliaan ini.
Sebagaimana dalam firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah ([2]:183):

183. Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Namun, jika kita renung kembali pada masa-masa lalu, masih ramai umat islam yang tidak tahu menghargai erti ramadhan itu, masih ramai yang seolah-olah tidak mengertikan tanggungjawab yang perlu mereka laksanakan sebagai seorang muslim.. Ada lagi segelintir yang tidak berpuasa, yang masih berani melakukan maksiat, mencuri, melepak ketika orang ramai sedang khusyuk menunaikan solat tarawih..itu mungkin hanya dilihat sebagai masalah yang kecil, tetapi yang kecil itulah yang semakin serius dan tidak boleh dipandang enteng. apakah yang akan terjadi kepada golongan seperti ini???apakah ini yang dinamakan umat islam???

Sedarlah kita semua, umat islam..kita hanyalah hambaNya,hambaNya yang tidak punya harta, tidak punya kemewahan, tidak punya apa-apa. Mengapa kita masih lagi tegar untuk berlagak seperti raja??seperti pemilik dunia?? sedangkan ini semua bukan milik kita. Ini hanyalah sementara. Perhentian sementara buat kita hambaNya. Seharusnya kita berlumba-lumba untuk menikmati dan menghargai peluang ini yang belum tentu akan kita lalui pada masa akan datang.
Mungkin masih ramai yang alpa dan leka dengan kenikmatan dunia sehingga mereka lupa akan besarnya ganjaran di dalam bulan Ramadhan ini. Allah s.w.t sudah menjanjikan ganjaran kepada umatNya sebagaimana yang disebut dalam Al-Quran, surah Al-Ahzab ([33]:35):

35. Sesungguhnya orang-orang lelaki Yang Islam serta orang-orang perempuan Yang Islam, dan orang-orang lelaki Yang beriman serta orang-orang perempuan Yang beriman, dan orang-orang lelaki Yang taat serta orang-orang perempuan Yang taat, dan orang-orang lelaki Yang benar serta orang-orang perempuan Yang benar, dan orang-orang lelaki Yang sabar serta orang-orang perempuan Yang sabar, dan orang-orang lelaki Yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan Yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki Yang bersedekah serta orang-orang perempuan Yang bersedekah, dan orang-orang lelaki Yang berpuasa serta orang-orang perempuan Yang berpuasa, dan orang-orang lelaki Yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan Yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki Yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan Yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala Yang besar.

Oleh itu, dengan hadirnya bulan ramadhan pada kali ini, marilah kita bersama-sama muhasabah kembali diri kita, merenung kembali di manakah sebenarnya kedudukan kita sebagai seorang umat Islam, sebagai seorang muslim. Kejarlah nikmat yang dianugerahkan Allah kepada kita dengan sebaiknya. Gunakanlah peluang yang ada untuk mengabdikan diri kepadaNya. Sesungguhnya Ramadhan dapat memberi kita seribu satu nikmat dan kemuliaan. Hanya terpulang kepada kita sama ada mahu memperolehnya atau tidak. Tepuk dada tanya iman.

Disediakan oleh : ~a.n.s~

Thursday, August 6, 2009

Bencana Penyakit Hasil Kesilapan Manusia di Dunia

Umat Islam kena sentiasa beringat urus kehidupan, jangan berputus asa dengan musibah

SELEPAS beberapa kali diserang pelbagai jenis wabak, kini dunia bungkam dengan gabungan penyakit yang membentuk pandemik H1N1, selesema babi yang bermula di Mexico dan Amerika Syarikat, kini menyerang dunia menyebabkan beribu mangsa meninggal dunia. Semua orang risau, pelbagai langkah pencegahan dilakukan, ada yang dengan inisiatif tinggi, tidak kurang juga yang menganggap ia masalah remeh yang mustahil berlaku pada diri sendiri, sehingga apabila benar-benar diuji, barulah ada runtun di hati.

Sudah jelas dalam al-Quran dengan pelbagai peringatan kepada sesiapa yang kufur dan bermaksiat kepada Allah SWT. Balasan di dunia atau di akhirat tidaklah dapat dijangka, tetapi sebagai hamba lemah dan kerdil, semestinya kita sentiasa beringat dalam melakukan sesuatu perbuatan, bimbang jika menyalahi peraturanNya. Hari ini, kesilapan manusia dalam mengurus kehidupan dengan melanggar garis panduan yang ditetapkan oleh Allah SWT seperti yang terakam di dalam al-Quran menyebabkan ada antara kita yang terpaksa menanggung akibatnya.

Apa juga bencana yang berlaku kepada alam, kemalangan, perbalahan, permusuhan, hatta serangan wabak penyakit adalah kerana melanggar hukum Allah dan tabiat alam yang sepatutnya dipertahankan sebaik-baiknya. Hari ini, wabak selesema babi yang menular dengan pantas dan meragut nyawa adalah sememangnya wabak yang mudah berjangkit melalui sentuhan secara langsung dengan babi atau pemindahan virus selesema babi kepada manusia. Walaupun umat Islam tidak memakan babi atau terbabit secara langsung dalam menguruskan penternakan babi, virus yang menjangkiti manusia daripada babi boleh menyebabkan jangkitan antara manusia yang dijangkiti dengan manusia lain.
Hal ini tentulah amat mendukacitakan kita, kerana sebagai umat Islam, kita akur dengan larangan Allah SWT yang mengharamkan kita memakan bangkai, darah dan daging babi untuk menyelamatkan kita daripada penyakit berpunca binatang berkenaan.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Maaidah ayat 3 bermaksud: "Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan mati dipukul, dan mati jatuh, dan mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih, dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan) kamu mengundi nasib dengan anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik."

Hakikat yang perlu diyakini ialah bahawa setiap yang berlaku adalah ketentuan Allah SWT jua. Di dalam Surah Al-hadid ayat 22 Allah SWT berfirman yang mafhumnya: "Tiada suatu pun bencana yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis di dalam kitab (Loh Mahfudz) sebelum kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah." Justeru, umat Islam haruslah memahami bahawa kuasa Allah SWT sahajalah yang menentukan sesuatu itu berlaku walaupun apa jua usaha yang dilakukan atau tidak diusahakan kerana kekuasaan Ilahi melebihi kuasa yang lainnya.

Sering kali kita merasa beruntung dan bertuah dengan rahmat yang direzekikan oleh Allah SWT kepada kita, yang kadangkala datangnya tanpa disangka. Sesekali pula ada musibah yang berlaku disebabkan oleh diri kita sendiri, lalu, jika kita berputus asa, tentulah kita merasa malu jika tidak bersangka baik dan menyerahkan segala urusan yang tidak mampu kita lakukan kepada pemilik segala kejadian ini.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Hebat dan amat mengagumkan sifat orang beriman, semua urusannya memberinya kebaikan, dan tiada perolehinya kecuali dia adalah mukmin, iaitu apabila ditimpa bahagia dia bersyukur, maka ia peroleh kebaikan (hasil syukurnya dia), dan apabila ia ditimpa keburukan, ia sabar dan baginya kebaikan juga." (Riwayat Muslim).

Yang boleh kita lakukan ialah yakin dan berdoa bahawa wabak yang melanda akan terhapus juga akhirnya dengan kuasa Allah SWT yang menjadikan sesuatu dengan sebab dan musababnya.


Sumber:
Berita Harian Online (6 0GOS 2009)