Tuesday, July 14, 2009

LAPORAN PERSIDANGAN KALI PERTAMA IKATAN KEROHANIAN JPP ZON UTARA

Pada 4 Julai 2009, satu program iaitu Persidangan Kali Pertama Ikatan Kerohanian JPP Zon Utara telah diadakan di IPGM Kampus Darulaman. Persidangan ini berlangsung di dalam Program Interaksi Kerohanian JPP Zon Utara.

Organisasi Ikatan Kerohanian JPP Zon Utara ini telah melibatkan gabungan lima buah IPGM di Zon Utara iaitu IPGM Kampus Perlis, IPGM Kampus Tuanku Bainun, IPGM Kampus Pulau Pinang, IPGM Kampus Darulaman, dan IPGM Kampus Sultan Abdul Halim. Setiap IPGM menghantar seramai 20 orang wakil bagi menyertai program ini.

Dengan berpegang kepada visi memperkasa dan meningkatkan kualiti badan kerohanian di Institut Pendidikan Guru Malaysia Zon Utara, organisasi ini turut menggariskan beberapa misi yang ingin dicapai melalui program yang dijalankan.

Antara misi yang diberi fokus ialah seperti berikut:
@Memupuk hubungan silaturahim antara Ikatan Kerohanian JPP IPGM Zon Utara
@Membentuk jaringan kerohanian di peringkat IPGM Zon Utara
@Menyediakan wahana untuk bertukar-tukar pendapat serta maklumat kearah memperhebat aktiviti kerohanian di setiap IPGM Zon Utara.
@Melahirkan generasi guru yang mempunyai kemantapan rohani dan kegemilangan sahsiah.

Program bermula dengan pendaftaran para peserta program. Seterusnya diikuti dengan majlis perasmian oleh Pensyarah Penasihat Kerohanian JPP IPGM Kampus Darulaman, Ust. Mohd Radzi bin Lebai Mat.

Program diteruskan dengan Slot 1, Sedetik Bersama Presiden. Dalam slot ini, preview pengenalan Ikatan Kerohanian JPP Zon Utara telah disampaikan oleh Presiden, iaitu saudara Nik Mohd Fahmi bin Nik Harun Aminarrashed. Dalam pada itu, beliau turut berkongsi ingatan kepada para peserta agar dapat sentiasa bekerjasama berganding bahu dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab dalam menjalani tugas-tugas dakwah islam ini.

Seterusnya ialah Slot 2, iaitu Pembentangan aktiviti dan pengurusan Program Kerohanian oleh setiap wakil IPGM. Setiap IPGM dikehendaki membentangkan aktiviti sepanjang tahun yang telah dirancang dan dijalankan. Sesi soal jawab turut dibuka kepada peserta yang lain agar segala kemusykilan dapat dileraikan dan lebih mudah difahami.

Pada waktu petang pula, pembentangan aktiviti diteruskan lagi setelah berhenti rehat. Pembentangan berakhir pada jam 3.00 petang dan diteruskan dengan Forum yang bertemakan “Ke Arah Kecemerlangan Aktiviti Kerohanian di IPGM”. Ahli panel bagi forum tersebut ialah saudara Ahmad Zakir bin Mohd Amin, merangkap Pengerusi Lujnah Tarbiyah dan Kepimpinan dan saudari Nordini Adibah Bakhtiar binti Yusof, Timbalan Pengerusi 2 Lujnah Tarbiyah dan Kepimpinan. Moderator yang mengendalikan forum ialah Ahmad Zhafri bin Md. Nor.

Tajuk yang dibincangkan begitu mendapat sambutan dan respons yang positif daripada para peserta. Dalam masa yang sama, ia dilihat bertepatan dengan visi organisasi yang telah digariskan.

Tayangan video turut diselitkan dalam program interaksi ini. Tayangan Video yang bertajuk “Adakah Kau Lupa”, menjadi satu medium bagi menaikkan semangat para peserta di samping menghayati perjuangan-perjuangan para sahabat dalam usaha menegakkan syiar Islam. tidak ketinggalan ucapan penggulungan daripada pengerusi Ikatan Kerohanian, saudara Nik Mohd Fahmi bin Nik Harun Aminarrashed. Di dalam ucpannya, beliau sentiasa mengingatkan agar dapat menjalani segala tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin, ikhlas kerana Allah S.W.T.
Program Interaksi ini berakhir pada jam 5.00 petang

No comments:

Post a Comment