Tuesday, September 22, 2009

Perjuangan Kita Sebagai Rausyanfikir (pemikir yang celik) Masyarakat Masih Jauh









Saya berkesempatan untuk menyertai Muktamar Pergerakan Pemerkasaan Tulisan Jawi(PERAWI) di Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah di Alor Setar anjuran Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah baru-baru ini. Muktamar kali ini hanya berjaya menghimpunkan 150 orang sahaja . Mungkin ini disebabkan hari ini (hari Ahad) merupakan hari bekerja di mana kebanyakan yang hadir terdiri daripada pak cik dan mak cik yang pernah merasai kehangatan penggunaan tulisan jawi dalam masyarakat.

Satu lagi isu yang SEWAJIBNYA guru pelatih IPGM ambil tahu , selain meneruskan kitaran bodoh sehari-hari-(makan , tidur, kuliah , dan seterusnya tanpa perubahan sepanjang tahun) , ialah untuk menggarap kembali perjuangan untuk membangkitkan penggunaan tulisan jawi di Malaysia. Isu ini nampak kecil bagi sesetengah mahasiswa keguruan dan sesetengah pihak ,namun impak akibat pemansuhan pembelajaran tulisan jawi dalam pengajaran dan pembelajaran oleh seorang menteri pelajaran itu telah berjaya "membunuh" rasa beragama ramai anak bangsa yang beragama Islam di negara ini. Akibat daripada terbunuhnya pembelajaran tulisan jawi , ramai anak bangsa yang beragama Islam tidak mampu membaca Al-Qur'an , menghayati bacaan al-Qur'an dan jika tidak melampau ia dikatakan telah melahirkan generasi yang ber'bin' dan ber'binti', namun tidak mampu mengucap dua kalimah syahadat!

Sepatutnya guru pelatih lebih terkehadapan dalam isu ini , juga termasuk isu-isu lain yang melibatkan integriti agama , bangsa dan leluhur jati diri seperti isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang ternyata telah berjaya menghancurkan masa depan ramai pelajar Melayu, isu pengekalan status asal agama anak setelah salah seorang ibu bapa memeluk islam , isu murtad, penderaan , gejala sosial yang membarah ,Liberalisme Islam serta ideologi yang menjadi perosak aqidah yang lain yang tidak tahu hujung pangkalnya dan sebagainya. Ini tidak masuk lagi dengan isu-isu yang melibatkan generasi muda beliau seperti hedonisme, seks bebas, penagihan gam dan dadah , buli dan banyak lagi.

Suara guru pelatih seakan terus sepi dari segi "suara" dan "kerja tangan" yang melibatkan masyarakat. Ini seakan mewujudkan satu tanggapan bahawa profesion keguruan merupakan profesion orang yang tak tahu apa-apa selain menjadi robot , pengampu, peneruskan dasar-dasar tolol dan tidak realistik oleh pihak-pihak tertentu yang semakin hari semakin menggadai agama , bangsa dan tanah air mereka walaupun giat mencanangkan kepada masyarakat bahawa merekalah pejuang bangsa dan negara yang sebenar.


Ini berbeza dengan sahabat-sahabat daripada IPT yang seakan begitu gah dengan budaya intelek ,diskusi , debat , budaya ilmu , aktivisme ( penyerahan memorandum , perhimpunan dan sebagainya) dan kesedaran kendiri . Berbeza dengan kita di IPGM , kita Masih lagi terperangkap dengan pemikiran picisan dan hedonisme -main permainan video , "dating" ,suka dimanjakan dan dilayan seperti anak-anak belasan tahun, malas seumpama menternak ayam di sangkar. Mungkin inilah generasi yang dikehendaki oleh sesetengah pihak , yang menganggap guru-guru seperti ini merupakan guru yang "baik" , "sopan" dan berhemah tinggi serta patriotik.

Cukup masa pergi cari makanan .Inilah yang amat menyedihkan terutama apabila mengenangkan bahawa gejala sosial hari in bukan lagi suatu barah , tetapi suatu wabak melanda seluruh masyarakat kita pada hari ini. Sekali lagi saya bertanya, mana suara guru pelatih kita? Masih takut dengan "hantu" akta-akta dan peraturan tertentu ?

Berapa orang yang sedar terhadap permasalahan ini? Mana suara guru pelatih kita? Masih tidur? Teruskan tidur. Sehingga kita "dibangkitkan" kelak dalam keadaan diseksa disebabkan gagal untuk memahami realiti masyarakat semasa.Tertarik dengan kata-kata Profesor Khoo Kay Kim .

"The university (dalam konteks kita: IPGM-penulis) today does not teach people how to think. The students come to university to make money. I always said to my students if you want to be rich don't come to university. The rich Chinese are mostly uneducated. To be rich you are not obliged to be highly educated. You can just pick one spot in KL and start selling Nasi Lemak and trust me your earning will be higher than university's Professor. People come to university in order to be a complete human being, not about making money. When I correct SPM history papers most of the time I will be correcting my own answer schemes. Our education system does not produce human but robots."


Walaupun dalam kata-kata tersebut beliau hanya menyebut berkenaan dengan Universiti, tetapi kata-kata ini juga boleh diterjemahkan sebagai mahasiswa, yang juga berkait rapat dengan guru-guru pelatih (atau mahasiswa "keguruan") institusi pendidikan guru di Malaysia.
"Sayyid Abul 'Ala Mawdudi dalam satu petikan kata-katanya yang sungguh tajam dan dalam pernah berkata kepada para graduan:

"'Wahai Pelajar! Kamu telah melabur sekian lama masa kamu di universiti ini untuk mendapat pendidikan. Kamu telah lama menunggu saat dimana kamu akan menuai hasil usaha kamu itu dalam bentuk segulung ijazah. Aku merasai betapa tersentuhnya jiwa kamu dalam majlis sebegini, maka menjadi satu kesukaran buat aku berterus terang kepada kamu pada saat ini. Walau bagaimanapun aku perlu berlaku jujur, bahawa dalam menilai tempat kau dididik in, malah kesemua tempat pendidikan yang bernama universiti ini tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian, diberikan apabila si pembunuh sudah berpuas hati kerana telah berjaya menyempurnakan penyembelihannya; alangkah bertuahnya kepada mereka yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan
Aku tidak hadir ke sini untuk mengucapkan tahniah kepada kamu kerana telah menerima sijil kematian tersebut. Malah sebaliknya, aku berasa teramat sedih melihat kamu semua dalam keadaan yang teruk. Aku seperti sesorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat disini."


Ahmad Zhafri bin Md Noor
@Akh Zhaf

Ketua Biro Multimedia dan Informasi Ikatan Kerohanian JPP Zon Utara
http://deafeningsilent.blogspot.com









Thursday, September 10, 2009

Sepintas di SIMPOSIUM BRING ISLAM BACK 2009

Alhamdulillah , pada 4, 5 dan 6 september yang lepas telah berlangsung satu program yang dinamakan BRING ISLAM BACK 2009 (SBIB) yang dianjurkan oleh Jaringan Pemuda Da'wah Islamiyyah (JUNDIYY) .Mengambil tema Kebangkitan Ar-rijal menerajui dakwah , program ini disertai oleh 30 orang peserta dari wadah dan pemikiran yang berbeza.

Program ini dilaksanakan setahun sekali dengan penglibatan 10 wadah yang bernaung di bawah JUNDIYY . Antara wadah yang bernaung di bawah JUNDIYY adalah Kelab Rakan Masjid (IPTB) , IPGM THINK TANKERS (IPPPP) , Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia Pulau Pinang , Angkatan Pemuda pemudi Islam (API) , IPSI USM , Persatuan Perkhidmatan Masyarakat (PPM) , Ikatan Kerohanian JPP Zon Utara , Persatuan Mahasiswa Islam USM , Kelab Remaja Lestari (KRL) , Jawatankuasa Pusat Islam (Politeknik Seberang Perai ) .

Antara objektif program ini dilaksanakan adalah untuk memberi pendedahan kepada penggerak-penggerak dakwah di Pulau Pinang terhadap isu-isu semasa di Malaysia dan seluruh dunia seterusnya memberi kesedaran terhadap pendakwah-pendakwah berkenaan peranan yang sepatutnya dimainkan oleh mereka dalam merevolusikan masyarakat ke arah pembentukan masyarakat yang madani , bermaruah , serta berjati diri .. Ini bertepatan dengan motif penubuhan JUNDIYY sendiri yang bersifat bebas, menghormati pendekatan dakwah dan golongan sasar bagi setiap wadah yang bernaung di bawah JUNDIYY serta berifat neutral.

Antara skop yang telah didedahkan kepada para peserta adalah Mono Religio : Perkembangan dan cabaran dunia Islam (Akh Nizam Mahsyar ,SU PUMPP) , politik ,aqidah dan Isu-isu semasa (Ustaz Hafiz Nordin) , Isu permasalahan sosial : Apa peranan Kita ? (Ustaz Kamruddin Kassim LANDAS) , Isu sebenar berkenaan selatan Thai (Akhawat-akhawat daripada Pattani , Thailand) , Pendidikan , kemahasiswaan dan peranan kita dalam mendepani isu-isu semasa (Akh Izzat Anwari ,Koordinator ABABIL) dan Akh Nurfitri Amir dengan tajuk pembentangan Revolusi Agama : Penilaian Terhadap Sejarah dan Cabaran Masa Kini.

Skop yang diperbincangkan di dalam SBIB kali ini dilihat sungguh padat dan sedikit berat , namun saya percaya bahawa setiap wakil dapat menghadam setiap butir yang keluar dari mulut pengisi disebabkan golongan sasar pada program kali ini adalah penggerak-penggerak teras (core) , MT setiap wadah.

Pada akhir program ,telah diadakan sesi Refleksi dan Resolusi. Beberapa Resolusi telah dicapai.Antaranya adalah :

1)setiap wadah yang bernaung di bawah JUNDIYY wajib hantar wakil untuk mesyuarat berkala dan penyertaan program

2)setiap program umum yang dianjurkan oleh wadah digalakkan untuk dimaklumkan kepada MT JUNDIYY

3)pelantikan ketua unit

-tekno daie:syafiq(BKS,IPTB)

-penerbitan:rahimi(PPM)

-program:saiful(API)

Untuk pengetahuan Semua -Kami juga mewaujudkan beberapa penambahan jawatan baru dalam JUNDIYY bagi memudahkan urusan . Di bawah ini merupakan senarai terbaru Majlis Tertinggi JUNDIYY.

Pengerusi-Zhafri(KARISMA)

T/pengerusi-Aishah(KRL)

S/U A-Rohana(PMI)

S/U E-Hazwan(BKS)

S/U O-Kartina Sari(KRL)

BEND-Mastura(PMI)

T/BEND-Zaidi(API)

Diharap setiap ahli yang bernaung di bawah JUNDIYY dapat menjalinkan hubungan yang lebih erat bersama wadah yang ada bawah naungan JUNDIYY yang lain.Insyaallah

SEKADAR PERKONGSIAN
Oleh :
Ahmad Zhafri bin Md Noor @ Abu Dujanah
Pengerusi Jaringan Pemuda Da'wah Islamiyyah (JUNDIYY)
http://deafeningsilent.blogspot.com
019-4554508

Tuesday, September 8, 2009

Ramadhan Bulan Bersejarah

Posting yang ringkas ini bertujuan untuk mengingatkan kita tentang sejarah-sejarah yang berlaku pada bulan yang mulia ini. Bulan Ramadhan bukan sahaja terkenal dengan pusat latihan ibadat, malah ia terkenal dengan peristiwa- peristiwa yang besar dalam sejarah Islam, saya menyenaraikan secara ringkas beberapa peristiwa yang besar di dalam sejarah yang menjadi mercu tanda kepada bulan Ramadhan" Semoga bermanfaat untuk kita semua".

1. Bulan yang diturunkan padanya al-Kitab

Firman Allah Swt dalam Surah Al-Baqarah ayat 185.

" Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza ( antara yang hak dan yang bathil )."

2. Peristwa Badar al-Qubra

Iaitu pada hari Jumaat , 17 Ramadhan tahun kedua Hijrah berlaku perang yang pertama bagi ummat Islam iaitu Perang Badar. Peperangan ini melibatkan tentera Islam seramai 313 anggota yang berhadapan dengan 1000 anggota tentera Musyrikin Makkah yang lengkap bersenjata. Peperangan ini melibatkan para malaikat yang membantu orang yang beriman dan Iblis yang memberi semangat kepada orang Musyrikin. Di dalam peperangan ini, tentera Islam memenangi pertempuran dengan 70 tentera musyrikin terbunuh ,70 ditawan manakala bakinya melarikan diri. Ianya termaktub di dalam surah Ali Imran ayat 123 hingga 135, al Mujaadilah ayat 22.

3. Islam membuka Kota Mekkah.

Peristiwa ini berlaku pada 10 Ramadhan tahun kelapan Hijrah. Peristiwa kemuncak ini berlaku apabila Musyrikin Mekkah melanggar perjanjian Hudaibiyyah yang termeterai dengan orang Islam pada tahun ke enam Hijrah.

4. Peristiwa perjalanan Nabi Muhammad ke Tabuk

Rasulullah berada di Tabuk pada 26 Ramadhan tahun 9 Hijrah. Rasulullah memimpin 30,000 tentera Islam ke Tabuk.Peristiwa ini berlaku apabila Islam tersebar ke pelusuk Tanah Arab dan ia memberi tamparan yang hebat kepada Rom yang menjadi kuasa besar pada masa itu. Lantas Herkules, Maharaja Rom Timur (Byzantine) memutuskan bagi menyekat pengaruh ummat Islam dengan menyerang utara Tanah Arab. Allah menyatakan di dalam surah al-Taubah pada Ayat 42, ayat 107, dan 116-117.

5. Islam sampai ke Yaman

Peristiwa ini berlaku pada bulan Ramadan tahun ke-10 Hijrah. Yaman terletak di selatan semenanjung Tanah Arab. Penduduknya menerima Islam tanpa perang seperti kemasukan Islam ke wilayah-wilayah lain. Peristiwa bersejarah ini bermula pada bulan Ramadan pada tahun ke -10 Hijrah.

6. Khalid bin Al-Walid meruntuhkan Berhala al-Uzza.

Selepas ummat Islam membebaskan Kota Makkah, Nabi Muhammad menyucikannya dengan memusnahkan 360 patung berhala di sekeliling Ka'bah, lima hari sebelum berakhirnya Ramadan tahun ke-9 Hijrah, beliau menghantar Khalid al-Walid bagi memusnahkan patung al-Uzza di Nakhla.

7. Penyerahan Badar Taif

Bandar Taif pernah mencatat sejarah apabila satu bandar penduduk Taif menghalau Rasulullah semasa berdakwah di sana. Penyerahan bandar ini berlaku apabila rombongan dari Taif datang ke Mekkah pada bulan Ramadan tahun ke-9 Hijrah dengan menyerahkan bandar Taif sebagai tanda menyerah kalah. Kemudian mereka meminta supaya patung di Taif diruntuhkan kerana takut syaitan yang menjaganya. Akhirnya, Patung Latta yang dipuja sebelum ini dimusnahkan.

8. Pembukaan Andalus (Sepanyol )

Andalus ialah nama Arab yang diberikan kepada wilayah-wilayah semenanjung Iberia yang diperintah oleh orang Islam selama beberapa waktu, iaitu bermula pada tahun 711 hingga 1492 masihi. Pada 28 Ramadan tahun ke-92 Hijrah, panglima Islam bernama Tariq bin Ziyad dihantar oleh pemerintah Bani Umayyah bagi menawan Andalus. Tariq memimpin tentera Islam berjumlah 7000 orang menyeberangi laut yang memisahkan Afrika dan Eropah untuk membuka kota itu.

9. Peperangan Zallaqah, Portugal

Peristiwa ini berlaku selepas Subuh hari Jumaat, bulan Ramadhan tahun 459 Hijrah. Ketika itu berlaku kebangkitan Dinasti Murabit di Afrika Utara . Gabenor Cordova, Al-Muktamin meminta bantuan Sultan dinasti Murabit, Yusuf bin Tasyifin bagi memerangi al-Fonso. Tentera Kristian yang diketuai oleh Al-Fonso yang berjumlah 80'000 tentera berjaya dikalahkan. Dalam masa yang singkat Sultan Yusuf berjaya menguasai seluruh Sepanyol dan menyelamatkan Ummat Islam. Selepas itu, Sepanyol dinasti Murabit berdiri sejak 1090 hingga 1147 Masihi.

10.Tentera Islam mengalahkan tentera Monggol

Peristiwa ini berlaku pada 15 Ramadan 685 Hijrah bersamaan 1260 Masihi. Angkatan tentera Islam bangkit membuat serangan balas. Tentera Islam dan para ulama' pimpinan Sultan Qutuz dari Dinasti Mamluk, Mesir mara ke Palestin selepas Monggol menguasainya.Kedua-dua pihak bertemu di Ain Jalut.

11. Peperangan Yakhliz

Pada 15 Ramadan 1294 Hijrah, bala tentera Islam Dinasti Uthmaniyyah yang dipimpin oleh Ahmad Mukhtar Basya dengan jumlah 34'000 anggota mengalahkan tentera Rusia yang berjumlah 740'000. Seramai 10'000 tentera Rusia terbunuh dalam pertempuran itu. Ia menjadi kebanggaan ummat Islam mempertahankan agama yang di ancam oleh kerajaan Tzar di Rusia. Kerajaan tentera Islam Uthmaniyyah menyelamatkan ummat Islam di Asia Tengah yang mana telah memberikan kedudukan yang hebat terhadap dunia Islam secara keseluruhan.

12. Tertawan Garis Bar Lev, Israil

Dalam sejarah moden, berlaku Perang Yom Kippur yang melibatkan tentera Islam pakatan Mesir dan syiria dengan tentera Yahudi Israil pada 10 Ramadan 1390 Hijrah bersamaan 6 Oktober 1973. Perang Yom Kippur, juga dikenali sebgai Peperangan Arab Israil 1973, Perang Oktober dan Perang Ramadan.

Ia adalah sebahagian daripada konflik Arab- Israil sejak dari tahun 1948. Pada bulan Jun 1967, berlaku Perang Enam Hari antara Israil dengan Mesir, Syiria, Jordan . Dalam pertempuran itu Israil berjaya menduduki utara Syiria serta Semenanjung Sinai dan Bukit Golan . Pada tahun 1971, Israil memperuntukkan 500 juta dolar Amerika bagi membina kubu dan kerja tanah raksaksa yang dinamai Garis Bar Lev sempena nama Jeneral Israil, Haim Ber Lev.

Israil bermegah dengan kubu Bar Lev yang didakwa ' tidak ditawan ' kerana mempunyai kekebalan dan teknologi yang canggih. Namun tentera Islam berjaya menawan kubu itu sekaligus mengalahkan Israil.

Peristiwa-peristiwa bersejarah yang saya ringkaskan di atas adalah antara peristiwa-peristiwa yang berlaku kepada ummat Islam pada bulan Ramadhan. Ini jelas menunjukkan bahawa Ramadhan merupakan suatu bulan yang penuh dengan keistimewaan kepada ummat Islam. Oleh itu ,marilah kita merenung sejarah masa silam agar kita dapat mengenali diri kita pada hari ini. Adakah kita telah menyiapkan diri dengan amal-amal Islami atau belum dan kita boleh menjadikan sejarah ini sebagai titik tolak untuk bermuhasabah di bulan yang mulia ini agar kita terus bersemangat dan istiqomah bertaqarrub kepada Allah S.W.T.

Disusun oleh,

Ahmad Zakir Bin Mohd Amin

Pismp P.Agama

IPGM KSAH