Wednesday, January 20, 2010

Ucapan Dasar Presiden Ikatan Kerohanian IPG Zon Utara




Pertama- tamanya dan selama-lamanya kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah yang tidak terhingga atas rahmat dan inayahNya dapat kita sama-sama mengecap segala nikmat kehidupan dan nikmat keIslaman . Suatu nikmat yang hanya dapat dirasai oleh segelintir kecil manusia yang sentiasa mengharapkan rahmat dan redhaNya .


Segala puji bagi Allah s.w.t yang memiliki segala keagungan , yang memiliki arasy yang agung, yang telah memperjalankan hambaNya yang mulia (Muhammad) , yang telah mencipta seluruh penghidupan dan ciptaan di alam jagat ini. Dan selawat serta salam ke atas nabi junjungan kita


Nabi Muhammad S.A.W , para sahabat, tabi’ ,tabiut tabiin serta ke atas keluarga baginda yang mulia dan dimuliakan seisi langit dan bumi. Sepertimana firman Allah s.w.t dalam surah Al-Muddatsirl ayat 1-5 mafhumNyA

“Hai orang yang berkemul (berselimut), bangunlah, lalu berilah peringatan! dan Tuhanmu agungkanlah! dan pakaianmu bersihkanlah, dan perbuatan dosa tinggalkanlah .dan janganlah kamu memberi (dengan maksud) memperoleh (balasan) yang lebih banyak. Dan untuk (memenuhi perintah) Tuhanmu, bersabarlah,”


Dalam satu riwayat dikemukakan bahaw Rasulullah s.a.w bersabda ,” ketika aku selesai beruzlah selama sebulan di Hira’ , aku turun ke lembah. Setelah sampai ke tengah lembah ,ada yang memanggilku , tetapi aku tidak melihat seorangpun di sana . Aku menengadahkan kepalaku ke langit, dan tiba-tiba aku melihat malaikat yang pernah mendatangiku di Gua Hira’. Aku cepat-cepat pulang dan berkata ,selimutilah aku ,

Maka turunlah ayat ini sebagai perintah untuk keluar berdakwah. Hadis ini telah diriwayatkan oleh Asy-Syaikhani yang bersumber dari Jabir telah menerangkan perihal nabi yang mulia diseru untuk turun ke lapangan untuk berdakwah kepada kepada manusia. Ayat ini juga menyeru manusia untuk menjadikan dakwah ini sebagai satu “kehidupan”, “pekerjaan” ,satu gaya hidup dan satu kewajiban.Sama-samalah kita mengimani dan menghayati segala seruan ini, moga-moga kita ditempatkan di kalangan pejuang agama Allah yang terus tsabat dan cekal menghadapi segala pancaroba dan berhenti di yaumul hisab kelak.


Imam Ibnu Qaiyyim al Jauziyyah r.h ,seorang mujadid dan muhaddithin pernah berkata,” perjalanan seorang daie ini sungguh panjang dan meletihkan. Orang yang lalai akan berasa hairan melihat sang daie itu mensengsengsarakan dirinya dalam kelelahan lalu bertanya kepada sang daie ,”mengapa kau rela bersusah payah sebegini”, jawab sang daie dengan pasti ,”aku mengharapkan pengistirehatan di akhirat kelak”.Saya sebenarnya berasa amat kerdil bila berhadapan dengan sahabat-sahabiah yang saya merasakan amat hebat fikrah dan ilmu mereka berbanding saya yang sungguh sungguh biasa ini.

Dan saya secara persepakatan ramai melalui syura telah dilantik sebagai pengerusi bagi sidang 2010/2011 ini. Bagi saya ini merupakan satu bebanan yang amat manis untuk dipikul . Walapun terbeban namun kita berasa amat manis untuk dipikul ,dan akan terus menggenggam “bara” ini sehingga menjadi abu.

Sahabat sahabiah yang dikasihi dan dirahmati Allah sekalian ,

Kita anak-anak muda, generasi yang merupakan pencorak kepada masa depan Negara kita-bahkan peranan ini sebenarnya agak signifikan kepada kita kerana kita merupakan generasi yang akan membentuk generasi yang seterusnya .

Guru sebagai satu profesion yang mempunyai tanggungjawab yang besar.Guru menjadi muaddib , orang yang mengajar adab , murabbi, yang memimpin manusia untuk mengenal Allah ,dan sebagai musleh , yang akan mengislahkan umat manusia menuju kepada roh baru Islam. Guru sebagai pewaris kenabian menyebarkan ilmu Allah di segenap muka bumi .Guru akan mendidik anak bangsa menjadi golongan yang berguna untuk agama , bangsa dan Negara.


Ketahuilah bahawa guru yang paling agong ialah Nabi Muhammad s.a.w .
Baginda Berjaya mendidik manusia daripada penyanjung budaya dan amalan jahiliah kepada kecerdikan dan kewarasan akal , mengikut garis panduan yang dibuat oleh Allah s.w.t. Dan tanggungjawab sebagai guru ini akan kita pikul selepas berada selama 5 ½ tahun di IPG masing-masing .

Sheikh Yusof al-Qardhawi pernah berkata:“Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah daripada kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa hadapan menjadi sebuah negara yang aman makmur”.

Kedatangan kita pada petang yang berbahagia ini merupakan satu perhimpunan, perjumpaan , penyatupaduan antara penggerak-penggerak dakwah, aktivis-aktivis mahasiswa keguruana serta mujahid mujahidah yang sedang dilatih mahupun sudah dilatih untuk ditebarkan keseluruh alam menjadi murabbi yang akan mengislahkan alam.

Kita sebagai satu keluarga yang besar , di mana 5 buah keluarga berkumpul lalu menjadi sebuah keluarga yang besar yang seterusnya diharapkan mampu menjadi sebuah fenomena atau memberi kesan terhadap terhadap biah atau keadaan di institute pendidkan guru di lokaliti masing-masing. Berbanggalah kita wahai sahabat sahabiahku kerana Kita terdiri daripada segolongan anak-anak muda yang yang s.w.t firmankan dalam surah al kahfi mafhumnya:


نَّحۡنُ نَقُصُّ عَلَيۡكَ نَبَأَهُم بِٱلۡحَقِّ‌ۚ إِنَّہُمۡ فِتۡيَةٌ ءَامَنُواْ بِرَبِّهِمۡ وَزِدۡنَـٰهُمۡ هُدً۬ىوَرَبَطۡنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمۡ إِذۡ قَامُواْ فَقَالُواْ رَبُّنَا رَبُّ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ لَن نَّدۡعُوَا

ْ مِن دُونِهِۦۤ إِلَـٰهً۬ا‌ۖ لَّقَدۡ قُلۡنَآ إِذً۬ا شَطَطًا

Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripada-Nya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran” al-Kahfi (18:13-14)

Di dalam sebuah buku karya Al Ustaz Fathi Yakan yang bertajuk GENERASI PEMUDA DAN PERUBAHAN , beliau ada mengungkapkan beberapa perkara mengenai dengan pemuda islam . Sebelum itu belaiu mengungkapkan satu pertanyaan –Kenapa Pemuda Islam?


Wahai sahabat sahbiahku..kenapa Pemuda Islam dibebankan dengan URUSAN dakwah dan pengislahan masyarakat?Islam, apabila ia menekankan supaya para pemuda melaksanakan matlamatnya yangmenginginkan perubahan, bererti bukanlah diserahkan tugas itu kepada mana-mana generasi sahaja yang tidak mempunyai ciri-ciri tertentu, tetapi terlebih dahulu dimestikan atau dituntut supayagenerasi itu mempunyai sifat-sifat Islam dan berpegang teguh dengan prinsip-prinsip Islam iaituberkehendakkan generasi Islam yang tulen.


Para pemuda yang bersifat Islam adalah suatu hal, dan para pemuda tanpa Islam adalah suatuhal yang lain dan tidak ada apa-apa selain dari itu. Para pemuda dengan Islam bererti pemberi, iaitukebaikan dan pembinaan dan yang tanpa Islam ialah celaka dan bala'.Pemuda ialah suatu tenaga yang digunakan oleh Islam untuk membangunkan danmemakmurkan alam tetapi orang lain mempergunakan mereka untuk meruntuhkan umatmanusia.


Sesungguhnya masyarakat manusia hari ini penuh sesak dengan pemuda-pemuda tetapipemuda-pemuda ini hanyalah yang kosong, hanyut dan terbiar;Pemuda yang tiada peribadi,bersikap seperti kera;Pemuda yang tiada mempunyai akhlak, yang lebih dekat dengan binatang ;Pemuda yang dijadikan tentera oleh kuasa-kuasa jahat dan zalim, disusun oleh partipartikufur dan syaitan;Pemuda pondan yang tiada kebaikan pada mereka;Tetapi keberkatan datang bersama pemuda yang tinggi cita-citanya.


.9:111 "Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin itu jiwa dan hartamereka dengan ganjaran syurga, mereka berperang pada jalan Allah, maka mereka membunuhdan mereka dibunuh, janji ke atasnya itu benar tersebut dalam Taurat, Injil dan al-Quran, dan siapakahyang lebih menepati janjinya selain dari Allah dan bergembiralah dengan jual beli yang telah kamulakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar."

Sahabat sahabiahku yang dikasihi Allah azzawajall sekalian ,

Saya mewakili sahabat sahabiah MT yang lain berasa berbesar hati di atas kehadiran anda semua ke majlis ini. Sesungguhnya diharapkan dengan berkumpulnya kita semua hari ini membuka peluang untuk kita semua menjalinkan hubungan yang lebih rapat antara organisasi dakwah di IPG-IPG Zon Utara.

Beberapa tugasan atau selayaknya dikatakan persoalan ingin saya timbulkan di sini. Apakah halatuju dakwah kita sebagai penggerak-penggerak di sini? Adakah khas dan bersemangat di IPG sahaja ? atau usaha dakwah ini skopnya telah kita fkirkan untuk masa depan?

Adakah dakwah kita hari ini bersifat realistic , di mana banyak persoalan melibatkan masyarakat telah kita hadamkan? Siapa yang ambil kisah tentang Islam Liberal di sini? Berapa ramai yang tahu tentang mustadh’afin? Golongan yang tertindas? Siapa tahu tentang jumlah pesalah juvenile di Negara kita ? siapa tahu apakah ancaman aqidah terbesar di kala ini? Siapa tahu berapa orang anak luar nikah yang dihasilkan setiap tahun oleh para pelajar dan mahasiswa?


Saya secara peribadinya menyeru mahasiswa keguruan untuk untuk sama-sama membangkitkan izzah islam dengan sebaik mungkin sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah azzawajalla dalam surah At-Taubah ayat :41 mafhumnya:Maksudnya : Keluarlah (untuk berjuang pada jalan Allah) samaada dalam keadaan ringan dan mahupun berat , dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah . Yang demikian amatlah baik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui.


Maksudnya: Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah ,mengerjakan amal yang soleh dan berkata : sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diriSurah Al-Fushilat :33
Bersamalah kita memperkasakan institusi dakwah lokaliti ke arah yang lebih baik. Lakukan tajdid secara menyeluruh bagi merealisasikan penubuhan sebuah ikatan atau pertubuhan mahasiswa keguruan berdaftar di antara IPG di seluruh negara. Insyaallah. Saya begitu opitimis terhadap perkra ini. Salam perjuangan dari Bukit Coombe.


Ana yang dhaif,


Ahmad Zhafri bin Md Noor @ Akh Zhaf
Presiden Ikatan Kerohanian IPG Zon Utara sesi 2010/2011
+60194554508

LAPORAN PROGRAM MAHABBAH IPG ZON UTARA

Pada 16 Januari 2010 bersamaan 30 Muharram 1431H yang lepas, Ikatan Kerohanian IPG Zon Utara dengan kerjasama Badan Dakwah dan Surau (BADAS) IPG Kampus Sulatn Abdul Halim telah manganjurkan Majlis Mahabbah IPG Zon Utara dengan tema “Menjana Ukhwah, Menggapai Fikrah”. Program ini bertempat di Dewan Bukhari IPG Kampus Sultan Abdul Halim. Program ini dihadiri oleh lebih kurang 120 orang peserta mewakili badan dakwah di IPG masing-masing yang mana menggabungkan lima buah IPG zon utara iaitu IPG Kampus Perlis, IPG Kampus Darul Aman, IPG Kampus Pulau Pinang, IPG Kampus Tuanku Bainun, dan IPG Kampus Sultan Abdul Halim. Antara tujuan utama program ini diadakan adalah untuk berkongsi idea berkenaan isu dakwah di IPG di samping mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama ahli IPG zon utara. Tujuan lain adalah untuk membuat pelantikan Majlis Tertinggi yang baru bagi sesi 2010.

Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh saudara Mohamed Hazamuddin bin Husin, Presiden Badan Dakwah dan Surau IPG Kampus Sultan Abdul Halim. Dalam ucapannya, beliau menyentuh betapa peri pentingnya organisasi yang berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah yang telah digariskan oleh Rasulullah saw. Selain itu, para daie harus mempersiapkan diri dengan senjata keilmuan bagi mempertahankan aqidah umat Islam dalam mengharungi arus perdana sekarang ini. Majlis diteruskan dengan ucapan perasmian Majlis Mahabbah oleh Ustaz Wan Mohd Badruddin b. Abdul Rahman, pensyarah di Jabatan Pengajian Islam dan Moral IPG Kampus Sultan Abdul Halim. Setelah itu, majlis diteruskan lagi dengan ceramah yang disampaikan oleh Dr Ridzuan Bin Ahmad dengan tajuk ceramahnya “Realiti Dakwah di IPG : Antara Harapan dan Kewajipan”. Dalam ceramahnya yang berlangsung selama lebih kurang satu jam setengah itu, beliau menyentuh realiti yang berlaku di IPG sekarang dan strategi yang perlu diambil kira bagi seseorang pendakwah dalam menghadapi situasi ini. Beliau juga menyentuh bahawa pentingnya peranan pemuda itu sendiri dalam mengembangkan dakwah islamiyyah. Memetik kata-kata Yusuf al-Qardawi, “Perlu segera disedari, bahawa pemuda kebangkitan Islam adalah generasi termahal dan paling berharga di negeri-negeri umat Islam”. Ceramah yang disampaikan memberi input-input yang berguna dan membuka fikiran peserta seterusnya mengoborkan semangat dalam diri pendakwah-pendakwah muda ini untuk berusaha meniupkan kembali syiar Islam di IPG masing-masing. Antara lain, ceramah Dr Ridzuan telah menjana fikrah para penggerak dakwah di setiap IPG zon utara.



Majlis diteruskan lagi dengan aktiviti Perkongsian Pintar yang dikendalikan oleh saudara Ahmad Zakir bin Mohd Amin, YDP JPP IPG Kampus Sultan Abdul Halim. Aktiviti ini dijalankan dalam bentuk latihan dalam kumpulan (LDK). Muslimin dibahagikan kepada lima kumpulan dan muslimat dibahagikan lepada lima kumpulan yang menggabungkan kelima-lima IPG zon utara. Setiap kumpulan dikehendaki membuat cabutan soalan dan berbincang dalam kumpulan bagaimana untuk menyelesaikan persoalan yang diutarakan. Dari sini, sikap kerjasama dan komitmen dari setiap ahli penting untuk merungkaikan persoalan yang diberi. Pada jam 12.30 tengahari, semua peserta menjamu selera di kafetaria dan seterusnya menunaikan solat Zohor berjemaah di surau. Pada jam 2.30 petang, program diteruskan dengan Perkongsian Pintar 2 yang mana setiap kumpulan dikehendaki membentangkan hasil kerja kumpulan yang telah dibincangkan tadi. Kesepuluh-sepuluh kumpulan membentangkan hasil kerja dengan pencapaian yang cemerlang. Setiap kumpulan menunjukkan komitmen yang mantap dalam membuat persembahan.



Seterusnya, majlis diteruskan lagi dengan slot terakhir iaitu “Kemantapan Organisasi Menjana Keunggulan Dakwah” yang mana dikendalikan oleh Presiden Ikatan Kerohanian Zon Utara sendiri, saudara Nik Mohd Fahmi bin Nik Harun Aminarrashed. Dalam slot ini, saudara presiden mengumumkan kepimpinan Ikatan Kerohanian yang baru bagi sesi 2010. Menurut beliau, majlis tertinggi ini dilantik melalui sistem syura, kerana dasar demokrasi bukanlah cara pelantikan pimpinan Islam. Ini berdasarkan firman Allah dalam Surah al-An’am ayat 116 yang bermaksud,” “dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah”. Antara lain, ia bertujuan untuk membuat pemurnian semula majlis syura mengikut sunnah yang telah digariskan. Majlis tertinggi juga membuat keputusan untuk membuat penstrukturan semula lajnah. Secara ringkasnya, terdapat lima lajnah iaitu Lajnah Multimedia dan Informasi yang dipegang oleh IPG Kampus Pulau Pinang, Lajnah Tarbiyah dan Kepimpinan yang akan dikendalikan oleh IPG Kampus Sultan Abdul Halim, Lajnah Perhubungan Luar yang akan dikendalikan oleh IPG Kampus Perlis, Lajnah Ekonomi yang dipegang oleh IPG Kampus Tuanku Bainun, dan Lajnah R&D oleh IPG Kampus Darul Aman.


Amanat Presiden..

Majlis diteruskan dengan ucapan dari Presiden Ikatan Kerohanian IPG Zon Utara yang baru iaitu saudara Ahmad Zhafri bin Mohd Noor. Dalam ucapannya, beliau telah memetik ayat al-Quran dari surah al-Muddassir ayat 1-7 yang mana merupakan seruan Allah kepada Rasulullah saw untuk bangun memberi peringatan dan bersabar atas mehnah dan karenah masyarakat yang diterima. Ayat ini amat sesuai sekiranya ditaklifkan kepada para penggerak dakwah. Saudara presiden juga mengharapkan program seperti ini diteruskan lagi pada masa akan datang kerana dilihat sebagai wadah interaksi antara kelima-lima IPG zon utara. Pada jam 5.15 petang, majlis bersurai. Semua peserta diharapkan dapat mengambil sedikit sebanyak input yang berguna seterusnya diaplikasikan di IPG masing-masing dalam menggerakkan usaha dakwah Islamiyyah, InsyaAllah.

“Menjana Ukhwah, Menggapai Fikrah”