Wednesday, January 20, 2010

LAPORAN PROGRAM MAHABBAH IPG ZON UTARA

Pada 16 Januari 2010 bersamaan 30 Muharram 1431H yang lepas, Ikatan Kerohanian IPG Zon Utara dengan kerjasama Badan Dakwah dan Surau (BADAS) IPG Kampus Sulatn Abdul Halim telah manganjurkan Majlis Mahabbah IPG Zon Utara dengan tema “Menjana Ukhwah, Menggapai Fikrah”. Program ini bertempat di Dewan Bukhari IPG Kampus Sultan Abdul Halim. Program ini dihadiri oleh lebih kurang 120 orang peserta mewakili badan dakwah di IPG masing-masing yang mana menggabungkan lima buah IPG zon utara iaitu IPG Kampus Perlis, IPG Kampus Darul Aman, IPG Kampus Pulau Pinang, IPG Kampus Tuanku Bainun, dan IPG Kampus Sultan Abdul Halim. Antara tujuan utama program ini diadakan adalah untuk berkongsi idea berkenaan isu dakwah di IPG di samping mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama ahli IPG zon utara. Tujuan lain adalah untuk membuat pelantikan Majlis Tertinggi yang baru bagi sesi 2010.

Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh saudara Mohamed Hazamuddin bin Husin, Presiden Badan Dakwah dan Surau IPG Kampus Sultan Abdul Halim. Dalam ucapannya, beliau menyentuh betapa peri pentingnya organisasi yang berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah yang telah digariskan oleh Rasulullah saw. Selain itu, para daie harus mempersiapkan diri dengan senjata keilmuan bagi mempertahankan aqidah umat Islam dalam mengharungi arus perdana sekarang ini. Majlis diteruskan dengan ucapan perasmian Majlis Mahabbah oleh Ustaz Wan Mohd Badruddin b. Abdul Rahman, pensyarah di Jabatan Pengajian Islam dan Moral IPG Kampus Sultan Abdul Halim. Setelah itu, majlis diteruskan lagi dengan ceramah yang disampaikan oleh Dr Ridzuan Bin Ahmad dengan tajuk ceramahnya “Realiti Dakwah di IPG : Antara Harapan dan Kewajipan”. Dalam ceramahnya yang berlangsung selama lebih kurang satu jam setengah itu, beliau menyentuh realiti yang berlaku di IPG sekarang dan strategi yang perlu diambil kira bagi seseorang pendakwah dalam menghadapi situasi ini. Beliau juga menyentuh bahawa pentingnya peranan pemuda itu sendiri dalam mengembangkan dakwah islamiyyah. Memetik kata-kata Yusuf al-Qardawi, “Perlu segera disedari, bahawa pemuda kebangkitan Islam adalah generasi termahal dan paling berharga di negeri-negeri umat Islam”. Ceramah yang disampaikan memberi input-input yang berguna dan membuka fikiran peserta seterusnya mengoborkan semangat dalam diri pendakwah-pendakwah muda ini untuk berusaha meniupkan kembali syiar Islam di IPG masing-masing. Antara lain, ceramah Dr Ridzuan telah menjana fikrah para penggerak dakwah di setiap IPG zon utara.



Majlis diteruskan lagi dengan aktiviti Perkongsian Pintar yang dikendalikan oleh saudara Ahmad Zakir bin Mohd Amin, YDP JPP IPG Kampus Sultan Abdul Halim. Aktiviti ini dijalankan dalam bentuk latihan dalam kumpulan (LDK). Muslimin dibahagikan kepada lima kumpulan dan muslimat dibahagikan lepada lima kumpulan yang menggabungkan kelima-lima IPG zon utara. Setiap kumpulan dikehendaki membuat cabutan soalan dan berbincang dalam kumpulan bagaimana untuk menyelesaikan persoalan yang diutarakan. Dari sini, sikap kerjasama dan komitmen dari setiap ahli penting untuk merungkaikan persoalan yang diberi. Pada jam 12.30 tengahari, semua peserta menjamu selera di kafetaria dan seterusnya menunaikan solat Zohor berjemaah di surau. Pada jam 2.30 petang, program diteruskan dengan Perkongsian Pintar 2 yang mana setiap kumpulan dikehendaki membentangkan hasil kerja kumpulan yang telah dibincangkan tadi. Kesepuluh-sepuluh kumpulan membentangkan hasil kerja dengan pencapaian yang cemerlang. Setiap kumpulan menunjukkan komitmen yang mantap dalam membuat persembahan.



Seterusnya, majlis diteruskan lagi dengan slot terakhir iaitu “Kemantapan Organisasi Menjana Keunggulan Dakwah” yang mana dikendalikan oleh Presiden Ikatan Kerohanian Zon Utara sendiri, saudara Nik Mohd Fahmi bin Nik Harun Aminarrashed. Dalam slot ini, saudara presiden mengumumkan kepimpinan Ikatan Kerohanian yang baru bagi sesi 2010. Menurut beliau, majlis tertinggi ini dilantik melalui sistem syura, kerana dasar demokrasi bukanlah cara pelantikan pimpinan Islam. Ini berdasarkan firman Allah dalam Surah al-An’am ayat 116 yang bermaksud,” “dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah”. Antara lain, ia bertujuan untuk membuat pemurnian semula majlis syura mengikut sunnah yang telah digariskan. Majlis tertinggi juga membuat keputusan untuk membuat penstrukturan semula lajnah. Secara ringkasnya, terdapat lima lajnah iaitu Lajnah Multimedia dan Informasi yang dipegang oleh IPG Kampus Pulau Pinang, Lajnah Tarbiyah dan Kepimpinan yang akan dikendalikan oleh IPG Kampus Sultan Abdul Halim, Lajnah Perhubungan Luar yang akan dikendalikan oleh IPG Kampus Perlis, Lajnah Ekonomi yang dipegang oleh IPG Kampus Tuanku Bainun, dan Lajnah R&D oleh IPG Kampus Darul Aman.


Amanat Presiden..

Majlis diteruskan dengan ucapan dari Presiden Ikatan Kerohanian IPG Zon Utara yang baru iaitu saudara Ahmad Zhafri bin Mohd Noor. Dalam ucapannya, beliau telah memetik ayat al-Quran dari surah al-Muddassir ayat 1-7 yang mana merupakan seruan Allah kepada Rasulullah saw untuk bangun memberi peringatan dan bersabar atas mehnah dan karenah masyarakat yang diterima. Ayat ini amat sesuai sekiranya ditaklifkan kepada para penggerak dakwah. Saudara presiden juga mengharapkan program seperti ini diteruskan lagi pada masa akan datang kerana dilihat sebagai wadah interaksi antara kelima-lima IPG zon utara. Pada jam 5.15 petang, majlis bersurai. Semua peserta diharapkan dapat mengambil sedikit sebanyak input yang berguna seterusnya diaplikasikan di IPG masing-masing dalam menggerakkan usaha dakwah Islamiyyah, InsyaAllah.

“Menjana Ukhwah, Menggapai Fikrah”

No comments:

Post a Comment