Tuesday, September 8, 2009

Ramadhan Bulan Bersejarah

Posting yang ringkas ini bertujuan untuk mengingatkan kita tentang sejarah-sejarah yang berlaku pada bulan yang mulia ini. Bulan Ramadhan bukan sahaja terkenal dengan pusat latihan ibadat, malah ia terkenal dengan peristiwa- peristiwa yang besar dalam sejarah Islam, saya menyenaraikan secara ringkas beberapa peristiwa yang besar di dalam sejarah yang menjadi mercu tanda kepada bulan Ramadhan" Semoga bermanfaat untuk kita semua".

1. Bulan yang diturunkan padanya al-Kitab

Firman Allah Swt dalam Surah Al-Baqarah ayat 185.

" Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza ( antara yang hak dan yang bathil )."

2. Peristwa Badar al-Qubra

Iaitu pada hari Jumaat , 17 Ramadhan tahun kedua Hijrah berlaku perang yang pertama bagi ummat Islam iaitu Perang Badar. Peperangan ini melibatkan tentera Islam seramai 313 anggota yang berhadapan dengan 1000 anggota tentera Musyrikin Makkah yang lengkap bersenjata. Peperangan ini melibatkan para malaikat yang membantu orang yang beriman dan Iblis yang memberi semangat kepada orang Musyrikin. Di dalam peperangan ini, tentera Islam memenangi pertempuran dengan 70 tentera musyrikin terbunuh ,70 ditawan manakala bakinya melarikan diri. Ianya termaktub di dalam surah Ali Imran ayat 123 hingga 135, al Mujaadilah ayat 22.

3. Islam membuka Kota Mekkah.

Peristiwa ini berlaku pada 10 Ramadhan tahun kelapan Hijrah. Peristiwa kemuncak ini berlaku apabila Musyrikin Mekkah melanggar perjanjian Hudaibiyyah yang termeterai dengan orang Islam pada tahun ke enam Hijrah.

4. Peristiwa perjalanan Nabi Muhammad ke Tabuk

Rasulullah berada di Tabuk pada 26 Ramadhan tahun 9 Hijrah. Rasulullah memimpin 30,000 tentera Islam ke Tabuk.Peristiwa ini berlaku apabila Islam tersebar ke pelusuk Tanah Arab dan ia memberi tamparan yang hebat kepada Rom yang menjadi kuasa besar pada masa itu. Lantas Herkules, Maharaja Rom Timur (Byzantine) memutuskan bagi menyekat pengaruh ummat Islam dengan menyerang utara Tanah Arab. Allah menyatakan di dalam surah al-Taubah pada Ayat 42, ayat 107, dan 116-117.

5. Islam sampai ke Yaman

Peristiwa ini berlaku pada bulan Ramadan tahun ke-10 Hijrah. Yaman terletak di selatan semenanjung Tanah Arab. Penduduknya menerima Islam tanpa perang seperti kemasukan Islam ke wilayah-wilayah lain. Peristiwa bersejarah ini bermula pada bulan Ramadan pada tahun ke -10 Hijrah.

6. Khalid bin Al-Walid meruntuhkan Berhala al-Uzza.

Selepas ummat Islam membebaskan Kota Makkah, Nabi Muhammad menyucikannya dengan memusnahkan 360 patung berhala di sekeliling Ka'bah, lima hari sebelum berakhirnya Ramadan tahun ke-9 Hijrah, beliau menghantar Khalid al-Walid bagi memusnahkan patung al-Uzza di Nakhla.

7. Penyerahan Badar Taif

Bandar Taif pernah mencatat sejarah apabila satu bandar penduduk Taif menghalau Rasulullah semasa berdakwah di sana. Penyerahan bandar ini berlaku apabila rombongan dari Taif datang ke Mekkah pada bulan Ramadan tahun ke-9 Hijrah dengan menyerahkan bandar Taif sebagai tanda menyerah kalah. Kemudian mereka meminta supaya patung di Taif diruntuhkan kerana takut syaitan yang menjaganya. Akhirnya, Patung Latta yang dipuja sebelum ini dimusnahkan.

8. Pembukaan Andalus (Sepanyol )

Andalus ialah nama Arab yang diberikan kepada wilayah-wilayah semenanjung Iberia yang diperintah oleh orang Islam selama beberapa waktu, iaitu bermula pada tahun 711 hingga 1492 masihi. Pada 28 Ramadan tahun ke-92 Hijrah, panglima Islam bernama Tariq bin Ziyad dihantar oleh pemerintah Bani Umayyah bagi menawan Andalus. Tariq memimpin tentera Islam berjumlah 7000 orang menyeberangi laut yang memisahkan Afrika dan Eropah untuk membuka kota itu.

9. Peperangan Zallaqah, Portugal

Peristiwa ini berlaku selepas Subuh hari Jumaat, bulan Ramadhan tahun 459 Hijrah. Ketika itu berlaku kebangkitan Dinasti Murabit di Afrika Utara . Gabenor Cordova, Al-Muktamin meminta bantuan Sultan dinasti Murabit, Yusuf bin Tasyifin bagi memerangi al-Fonso. Tentera Kristian yang diketuai oleh Al-Fonso yang berjumlah 80'000 tentera berjaya dikalahkan. Dalam masa yang singkat Sultan Yusuf berjaya menguasai seluruh Sepanyol dan menyelamatkan Ummat Islam. Selepas itu, Sepanyol dinasti Murabit berdiri sejak 1090 hingga 1147 Masihi.

10.Tentera Islam mengalahkan tentera Monggol

Peristiwa ini berlaku pada 15 Ramadan 685 Hijrah bersamaan 1260 Masihi. Angkatan tentera Islam bangkit membuat serangan balas. Tentera Islam dan para ulama' pimpinan Sultan Qutuz dari Dinasti Mamluk, Mesir mara ke Palestin selepas Monggol menguasainya.Kedua-dua pihak bertemu di Ain Jalut.

11. Peperangan Yakhliz

Pada 15 Ramadan 1294 Hijrah, bala tentera Islam Dinasti Uthmaniyyah yang dipimpin oleh Ahmad Mukhtar Basya dengan jumlah 34'000 anggota mengalahkan tentera Rusia yang berjumlah 740'000. Seramai 10'000 tentera Rusia terbunuh dalam pertempuran itu. Ia menjadi kebanggaan ummat Islam mempertahankan agama yang di ancam oleh kerajaan Tzar di Rusia. Kerajaan tentera Islam Uthmaniyyah menyelamatkan ummat Islam di Asia Tengah yang mana telah memberikan kedudukan yang hebat terhadap dunia Islam secara keseluruhan.

12. Tertawan Garis Bar Lev, Israil

Dalam sejarah moden, berlaku Perang Yom Kippur yang melibatkan tentera Islam pakatan Mesir dan syiria dengan tentera Yahudi Israil pada 10 Ramadan 1390 Hijrah bersamaan 6 Oktober 1973. Perang Yom Kippur, juga dikenali sebgai Peperangan Arab Israil 1973, Perang Oktober dan Perang Ramadan.

Ia adalah sebahagian daripada konflik Arab- Israil sejak dari tahun 1948. Pada bulan Jun 1967, berlaku Perang Enam Hari antara Israil dengan Mesir, Syiria, Jordan . Dalam pertempuran itu Israil berjaya menduduki utara Syiria serta Semenanjung Sinai dan Bukit Golan . Pada tahun 1971, Israil memperuntukkan 500 juta dolar Amerika bagi membina kubu dan kerja tanah raksaksa yang dinamai Garis Bar Lev sempena nama Jeneral Israil, Haim Ber Lev.

Israil bermegah dengan kubu Bar Lev yang didakwa ' tidak ditawan ' kerana mempunyai kekebalan dan teknologi yang canggih. Namun tentera Islam berjaya menawan kubu itu sekaligus mengalahkan Israil.

Peristiwa-peristiwa bersejarah yang saya ringkaskan di atas adalah antara peristiwa-peristiwa yang berlaku kepada ummat Islam pada bulan Ramadhan. Ini jelas menunjukkan bahawa Ramadhan merupakan suatu bulan yang penuh dengan keistimewaan kepada ummat Islam. Oleh itu ,marilah kita merenung sejarah masa silam agar kita dapat mengenali diri kita pada hari ini. Adakah kita telah menyiapkan diri dengan amal-amal Islami atau belum dan kita boleh menjadikan sejarah ini sebagai titik tolak untuk bermuhasabah di bulan yang mulia ini agar kita terus bersemangat dan istiqomah bertaqarrub kepada Allah S.W.T.

Disusun oleh,

Ahmad Zakir Bin Mohd Amin

Pismp P.Agama

IPGM KSAH

No comments:

Post a Comment