Sunday, October 4, 2009

* BAHASA TERINDAH*


Yang diucap dalam bahasa terindah
jawapan yang bertanya didengar nabi
antara kagum dan khusuk setiap ayatnya
lereng gunung menjadi amat sunyi
suara saja tegas bergema
disampai arah berkias maksud serentak
tapi jelas intinya
tidak sedetikpun Allah menghindar
atau mencemuh nabi disisi segala didoa
dipenuhi segala yang dipinta tulus dan
penuh baraqah
yatim ia tak berlindung
tidakkah tersedia juga bumbung baginya
awal begitu bergantung
kini tidakkah merdeka
bebas hidupnya

-Ramli Sarip-


Puisi buat aku lebih menghargai bahasa ibundaku. Bahasa Melayu. Yang hari ini keadilan untuknya diremehkan oleh bangsaku sendiri. Bangsa Melayu. Dengan pelbagai isu dan budaya baru yang masuk ke dalam bahasa warisan sejarah ini. Bahasa Melayu yang penuh dengan kata-kata hikmah dan sopan santun yang sering diingatkan nabi kepada umatnya supaya berhikmah dalam semua perkara termasuklah kata-kata ketika berbahasa.

Ukhwah yang terbina boleh tercalar hanya kerana kata-kata yang tidak berhikmah oleh si penyampai yang tidak berniat sama sekali ingin melukainya.




Allah S.W.T. menjadikan manusia amat istimewa dan berbeza dengan makhluk-Nya yang lain. Antara keistimewaannya yang paling utama ialah Allah S.W.T.menciptakan akal untuk manusia berfikir dan lidah untuk berbicara. Justeru, lidah menjadi jurubicara menyampaikan apa yang terasa dalam hati dan terlintas dalam fikiran manusia.

Manusia perlu menggunakan lidahnya untuk membicara perkara-perkara yang berfaedah. Antaranya membaca ayat-ayat suci al-quran, hadith-hadith Rasulullah s.a.w., pandangan para ulama', intelektual dan sebagainya seterusnya menyampaikannya kepada orang lain. Pesanan Rasulullah s.a.w. agar menyampaikan mesej Baginda walaupun satu ayat merupakan penegasan tentang betapa pentingnya kita perlu berbicara. Ia merupakan salah satu wasilah paling berkesan untuk menyampaikan mesej dakwah Islam.









Firman Allah S.W.T.:

Maksudnya:
Allah Yang Maha Pemurah, yang telah mengajarkan al-Qur'an. Allah menciptakan manusia,mengajarnya berbicara (menerangkan sesuatu cetusan daripada fikiran dan perasaannya).'
(Surah ar-Rahman : 1-4)


Tuturkata yang dikeluarkan oleh seseorang dapat mengukur sejauhmana kemahiran, pengetahuan, buah fikiran,sopan santun, budi pekerti, pemarah, kasar, sombong atau kerendahan hatinya. Oleh itu, sewajarnya setiap insan memelihara lidahnya dan hendaklah berbicara menurut pertimbangan akal yang waras. bercakap benar, sopan santun, lembut dan lunak supaya sedap didengar dan elakkan daripada mengeluarkan kata-kata kotor.

Dalam kehidupan kita seharian, wadah pergaulan yang digunakan dapat dibahagikan kepada beberapa keadaan. Umpamanya melalui perbualan, penulisan atau perdebatan.

Sebagai manusia, kita mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat tentang apa sahaja sama ada dalam percakapan, penulisan ataupun perdebatan. Walaubagaimanapun, ia mestilah tidak menimbulkan rasa marah, tidak puas hati, saling menyalahkan, menghina,memaki hamun, mencaci, mengeluarkan kata-kata kotor,mengutuk, menyumpah, mengaibkan dan sebagainya hingga menyinggung perasaan orang lain apatah lagi saudara kita sesama Islam. Ini kerana ia boleh merenggangkan hubungan silaturrahim, menimbulkan rasa marah, rasa benci. permusuhan dan jika keterlaluan mungkin menimbulkan kekacauan dan perbalahan.

Dalam hal ini bijak bistari pernah berpesan, 'berfikir itu pelita hati'. Pepatah Melayu pula mengatakan, 'kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa'. Jika direnung, kedua-duanya memberikan pengertian yang begitu mendalam untuk kita jadikan panduan supaya sentiasa menjaga kesopanan dalam percakapan seharian.

Oleh itu, bagi mengelakkan berlakunya sebarang perselisihan dan suasana yang tidak menyenangkan maka kita perlulah berwaspada dan berhati-hati sebelum berkata. Ibarat kata pepatah,'mulut kamu adalah harimau kamu.'

Terdapat banyak ayat al-qur'an dan hadith Rasulullah s.a.w yang memberi peringatan dan panduan tentang adab dalam percakapan.


Maksudnya:

Dan orang yang menyakiti orang mukmin,lelaki atau perempuan, tanpa adanya sesuatu yang mereka lakukan, maka orang yang menyakiti itu menanggung kebohongan dan dosa yang nyata.'
(Surah al-Ahzab : 58)

Maksudnya:
Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut antara mereka (Yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.'
(Surah al-Israa':53)

AI-Quran juga memerintahkan umat Islam supaya menolak dan mencegah keburukan dengan cara yang terbaik.

Firman Allah S.W.T.:

Maksudnya:

Tidaklah sama antara kebaikan dengan keburukan itu maka cegahlah keburukan dengan cara yang terbaik...'
(Surah Fussilat : 34)

Berleluasanya budaya fitnah memfitnah, caci mencaci, penipuan, tuduh menuduh dan sebagainya dalam masyarakat Islam akan menggugat kekuatan ummah terutama dalam menghadapi ancaman pihak musuh Islam.

Pertelingkahan dan perpecahan yang wujud hasil daripada pertuturan yang ditegah oleh Islam ini sememangnya dinanti-nantikan oleh musuh Islam yang sentiasa menunggu peluang memporakperandakan kesatuan dan kekuatan umat Islam.

Ini seterusnya membuka peluang kepada mereka memperkotak-katikkan umat Islam mengikut telunjuk mereka sehingga hilang segala kemegahan dan kemuliaan budi lalu bertukar kepada kehinaan dan kemunduran dalam pelbagai bidang kehidupan.

Umat Islam tidak mungkin dapat menghadapi musuh- musuh Islam yang sentiasa berganding bahu setiap kali berhadapan dengan umat Islam selagi wujud anasir-anasir yang memecahbelahkan kesatuan dan kekuatan umat terutama melalui pertuturan yang menyalahi ajaran Islam. Menjauhi amalan-amalan sedemikian sangat penting dan amat terdesak dalam persediaan umat Islam menghadapi musuh Islam yang semakin canggih, bersatu padu dan bijak.

Inilah yang harus kita fikirkan apa yang Tuhan tarik perhatian kita itu. Apakah sanggup kita tukarkan format tarbiah kita? Rata-rata sejak datuk nenek kita sehingga sekarang mendidik anak-anak kita supaya jangan mengeluarkan kata-kata yang kasar, jangan keluarkan maki hamun. Tersasul dari mulut anak mengeluarkan perkataan yang tak senonohpun, kita cubit mulut anak itu kerana ia tidak wajar diucapkan.

Itu dia format didikan kita, itu dia cara didikan kita. Apakah kita mahu tukarkan pula dengan pendekatan pendidikan atau methodologi pendidikan dengan cara, gaya dan budaya carut mencarut serta maki hamun ini?Inilah yang harus kita renung.

Inilah yang harus sama-sama kita fikirkan. Semoga Allah S.W.T. akan memberi taufiq dan hidayah kepada kita kerana kalau cara ini berterusan, cara ini kita amalkan, maka ternyata sekali pemikiran kita sudah gersang. Apabila pemikiran kita sudah gersang, tamadun akan pincang dan akan membawa kita kecundang. Nauzubillahi min zalik.

* mohon ampun maaf dr kami (pendatang baharu) atas salah silap dalam menyatakan hasrat kami. keputusan kami muktamad. Mohon Allah S.W.T beri taufik dan hidayah kpd kita semua. sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk itu atas kelemahan diri kami seniri.yang sangat berhajat kpd Allah.

* sumber rujukan: JAKIM




No comments:

Post a Comment