Wednesday, June 3, 2009

AMANAT PRESIDEN

Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izinnya saya berpeluang mencoretkan sepatah dua kata sebagai peringatan untuk diri sendiri dan sahabat-sahabat. Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada semua yang terlibat dalam menubuhkan organisasi Ikatan Kerohanian Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) Zon Utara ini terutamanya usaha dalam penghasilan blog yang amat bermanfaat kepada kita semua.

Sebelum kata menyusun bicara marilah kita sama-sama mengimbau kembali pengajaran daripada kisah nabi Musa ‘alaihissalam ketika baginda dicadangkan agar diterima bekerja, anak gadis nabi Syuaib telah meletakkan dua ciri utama. Pertama al-qawwi (kekuatan) dan kedua al-amin (amanah). Peristiwa ini telah dirakamkan dan diabadikan oleh Allah menerusi firman-Nya : “sesungguhnya orang yang paling baik untuk diberikan kerja ialah orang yang kuat lagi amanah”. (al-Qasas : 26)

Kekuatan dalam konteks hari ini boleh diinterpretasikan sebagai ketinggian ilmu pengetahuan yang dimilki oleh para da’ie bagi menyampaikan mesej dakwah secara ilmiah. “Dan supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari Tuhanmu, lalu mereka beriman kepadanya, sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhinya dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus.” (al-Haj : 54).

Manakala amanah pula menyentuh aspek keikhlasan, kejujuran dan ketelusan. Justeru saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru diri sendiri dan sahabat-sahabat agar sama-sama meningkatkan ilmu serta membetulkan niat kerana hati menjadi punca segala kebaikan dan kejahatan. Semoga dengan niat dakwah yang ikhlas kerana Allah, kita semua dapat merasai kemanisan beribadah di jalanNya.

Hanya jauhari yang mengenal manikam. Sebagai pemegang amanah yang diberi kepercayaan untuk meminpin, kita haruslah menjadi ‘jauhari’ yang mengenal sifat al-amin dan al-qawwi. Kita sewajarnya membuat anjakan paradigma dan melakukan transformasi sikap ke arah memiliki peribadi muslim yang bukan sahaja cerdik akal, tetapi juga baik hati sebagai qudwah hasanah kepada orang-orang bawahan kita.

Saya yakin dengan terbentuknya organisasi yang kukuh dan ahli-ahli yang memiliki kualiti peribadi seorang mujahid islam yang unggul, segala perancangan dan gerakan dakwah dapat dijalankan dengan jayanya. Suka saya mengingatkan semua bahawa iman di hati ialah kunci utama ke arah perubahan sikap. Transformasi, reformasi, evolusi, revolusi atau apa sahaja istilahnya, pucuk pangkalnya mestilah berlandaskan soal iman di hati.

Firman Allah, “apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti (yang dialami) orang-orang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan digoncang (dengan berbagai cubaan) sehingga rasul dan orang-orang yang bersamanya berkata, “bilakah datang pertolongan Allah?”, ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.” (al-Baqarah : 214)

Sebagai pemimpin, kita semua tidak pernah dapat lari daripada segala masalah di mehnah perjuangan dalam meneruskan urusan dakwah ini. Jangan sesekali benarkan ujian-ujian yang menimpa, menghapuskan pedoman hidup kita. Ujian adalah perkara normal dalam kita menelusuri kehidupan sebagai musafir di muka bumi milik-Nya. Setiap kali sahabat-sahabat ditimpa masalah ingatlah pada hari ini berjuta orang ditimpa masalah dan anda adalah salah seorang daripadanya.

Hadapilah ujian dan dugaan dengan hati yang tenang dan letakkanlah sepenuh keyakinan bahawa segala sesuatu ditentukan oleh Allah dengan qada’ dan qadar-Nya. Winston Churchill menyatakan “A pessimist sees the difficulties in every opportunity : an optimist sees the opportunity in every difficulty “.

Akhir kata, “feeling God in you” ialah jawapan kepada diri kita semua untuk menolak anasir-anasir yang boleh merosakkan keikhlasan semasa kita bekerja dalam sebuah organisasi. Jangan pernah risau jika usaha kita tidak dihargai tetapi risaulah jika kita sudah tidak berharga. Pandangan kita terhadap diri sendiri adalah jauh lebih penting daripada pandangan orang lain terhadap diri kita. Inilah yang disebut harga diri dan menjadi syarat utama untuk mengecapi kejayaan dalam berdakwah. Salam jihad untuk semua. Wassalam.


Nik Mohd Fahmi bin Nik Harun Aminarrashed
Presiden
Ikatan Kerohanian Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) Zon Utara

No comments:

Post a Comment