Wednesday, June 3, 2009

AMANAT TIMBALAN PRESIDEN 2

Alhamdulillah bersyukur kehadrat illahi yang telah melimpahkan rahmat iman kepada ummat Islam yang berpegang teguh pada syariat-Nya.Selawat dan salam ke atas rasul junjungan serta para sahabat yang berjihad menegakkan diinul islam sehingga seluruh makhluk di dunia ini mendapat rahmat dan redha Illahi.

Setinggi-tinggi kesyukuran dirafa’kan ke hadrat illahi kerana dengan izinnya Kursus Kepimpinan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Zon Utara telah berlangsung dengan jayanya. Malah lebih dari itu, kursus yang telah mengumpulkan hampir 100 orang perwakilan ini telah mencetuskan sesuatu yang pada hemat saya amat bermakna iaitu Ikatan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Biro Agama Zon Utara yang diharapkan dapat memantapkan lagi pergerakan membia’ah solehahkan Institut Pendidikan Guru masing-masing. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan kursus kepimpinan ini.

Gabungan biro-biro agama ini diharapkan dapat memberi impak yang positif dalam usaha para perwakilan dalam memberi kefahaman dan penghayatan Islam kepada mahasiswa IPG yang bakal menjadi arkitek bangsa suatu hari nanti.Diharapkan dengan adanya gabungan ini, kita dapat bertukar-tukar pendapat dan pandang. Bagi perwakilan yang telah lama berkecimpung dalam bidang ini diharapkan tidak lokek memberi panduan kepada perwakilan yang masih hijau dalam lapangan dakwah yang dipenuhi dengan mehnah dan tribulasi ini.

Sesungguhnya jalan dakwah tidak dihampari permaidani merah tidak pula dihidangkan dengan juadah yang lazat.Jalan dakwah penuh onak dan duri tetapi itu bukan alasan untuk kita terus lari dan menjauhkan diri dalam menjadi mata rantai perjuangan Rasulullah.Segala kesukaran ini akan terasa manisnya andai seluruh pendokong dakwah dalam gabungan JPP biro agama ini khasnya dan pendokong-pendokong dakwah yang lain amnya bersama-sama memikul dan menggalas amanah ini.

Sebagai peringatan untuk diri ini dan sahabat serta sahabiah dalam keasyikan kita meyeru dan menyebar risalah islam jangan kita lupa untuk sentiasa memperbaharui amal, ibadat dan sentiasa mengkoreksi diri agar sentiasa menjadi insan yang terbaik dari sehari ke sehari.Akhir kalam syukran jazilan diucapkan kepada sahabat-sahabat yang sentiasa memberi sokongan dan dokongan kalian yang tak pernah bekurangan.Buat mujahid dan mujahidah IPG khasnya semoga setiap amalan kita, setiap gerak kerja kita dipandang dan diterima oleh Illahi.

Hawa Jamilah bt. Hasani
Timbalan Presiden 2
Ikatan Kerohanian Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Zon Utara

No comments:

Post a Comment